RISALAH KEPADA AHLI SUNNAH; PELAKSANAAN DAKWAH AHLI SUNNAH WAL JAMAAH DI MALAYSIA



Oleh


ISMAIL bin OMAR
AKADEMI Al MUKARRAMAH

YAYASAN KEBAJIKAN NUSANTARA


Isi Kandungan



4. Memperbanyakkan Bilangan Guru-Guru Assunnah Yang Berkualiti

5. Penyesuaian Semasa (Fiqhalwaqi’) Di Era Globalisasi

6. Professionalisma Dalam Islam

7. Beroganisasi Berjemaah

8. Kepentingan Dakwah Mengikut Kaedah Manhaj

9. Elakkan Cara Jumud Atau Beku Dalam Pemahaman Dan Perlaksanaan Assunnah

10. Elakkan Membawa Masalah Budaya Arab Kebudaya Masyarakat Melayu Nusantara

11. Fiqh Alikhtilaf Atau Adab Alikhtilaf

12. Fiqh Assunnah, Fiqh Addakwah, Fiqh Asseerah, Fiqh Alaqidah

13. Dakwah Assunnah Adalah Berdasarkan Aqidah Bukan Berdasarkan Fekah Atau Harakah

14. Fiqh Alaqidah Serta Institusi Alwala’ (Kesetiaan) Dan Albara’  (Penolakan) Dalam Islam

15. Usul Dan Furuk

16. Ilmu Alat

17. Pengasingan (Compartmentalisation) Bidang- Bidang Ilmu

18. Asal Semua Ilmu Akademik Adalah Islamik Bukan Sekular

19. Masyarakat Adalah Campuran Berbagai Jenis Manusia. Setiap Manusia Berbeza Tahap Kemampuan Dan Kesabaran

20. Peranan Ahli Korporat Dan Professional

21. Sedekah Sebagai Penggerak Dakwah Islamiyah Dan Tidak Boleh
Dianggap Sebagai Dana Sumbangan Untuk Mempengaruhi Mana-Mana Institusi Dakwah

Kata Pengantar

Sesungguhnya segala pujian adalah kepada Allah. Kita memuji-Nya, memohon pertolongan-Nya, memohon keampunan-Nya, dan berlindung dengan Allah dari segala keburukan diri kita dan keburukan segala amalan kita. Sesiapa yang Allah memberi petunjuk kepadanya maka tiada kesesatan baginya dan sesiapa yang disesatkan maka tiada petunjuk baginya. Aku menjadi saksi bahawa tiada tuhan yang berhak diabdikan melainkan Allah yang satu tiada sekutu bagi-Nya, dan aku menjadi saksi bahawa Muhammad itu adalah abdi-Nya dan rasul-Nya.



1. HIDAYAH ALLAH DAN FITRAH YANG SUCI

Kita mengucap syukur kepada Allah azza wajalla yang telah mengurniakan kita dengan taufik dan hidayah-Nya. Tiadalah kurniaan yang lebih bernilai kepada makluk-Nya selain dari hidayah-Nya. Apalah nilai kebenaran, kebesaran dan kemegahan dunia ini tanpa hidayah-Nya yang menjamin kehidupan kita diakhirat kelak. Tiadalah sebenarnya nilai hidup didunia ini tanpa kebahagiaan diakhirat kelak sesuai dengan firman-Nya;

بَلْ تُؤْثِرُونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا وَالْآخِرَةُ خَيْرٌ وَأَبْقَىٰ

Yang bermaksud, “Tetapi kebanyakkan kamu tidak melakukan yang demikian), bahkan kamu utamakan kehidupan dunia; Padahal kehidupan akhirat lebih baik  dan lebih kekal” (Surah Al A’ala 87: 16-17)
Sabda Rasulullah s.a.w. dalam hadith sahih riwayat Imam AlBukhari yang bermaksud:
“Hiduplah kamu didunia ini seakan-akan kamu orang asing (stranger) atau orang musafir / merantau.” 
Sesungguhnya fitrah semula jadi yang ditanamkan oleh Allah dalam hati sanubari setiap insan adalah kebaikan. Firmannya;
وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ حُنَفَاءَ وَيُقِيمُوا الصَّلَاةَ وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ ۚ وَذَٰلِكَ دِينُ الْقَيِّمَةِ

Yang bermaksud,  “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah Ugama yang benar” (Al Baiyinah 98:5)


Malangnya fitrah suci insan itu telah dicemari oleh 2 perkara iaitu pengaruh alam sekeliling dan juga tipu daya syaitan.*



2. PROSES PELAKSANAAN ASSUNNAH: LIKU-LIKU PEMBABASAN 


Sesungguhnya tugas dan tanggungjawab para penyeru kepada AsSunnah amatlah berat. Namun tugas ini adalah wajib kepada setiap pendokong Ahli AsSunnah. Dan lebih berat lagi ialah kepada penuntut-penuntut ilmu AsSunnah dan mereka yang bergelar “ustaz-ustaz” atau lebih canggih lagi digelar “syeikh-syeikh” atau “ulamak-ulamak” AsSunnah. Rasulullah saw sendiri telah mengiktirafkan perkara ini dengan sabdanya yang bermaksud: 


“Sesungguhnya para ulamak adalah pewaris para nabi” (hadis sahih riwayat imam Abu Daud, Tirmizi, Ibnu Majah) *                             
Sudah pastilah pula setiap proses pelaksanaan mendakwah dan menghidupkan asSunnah itu menghadapi kesilapan seperti sabda Rasulullah saw yang bermaksud; 

“Setiap bani/anak Adam membuat kesilapan dan sebaik baik mereka yang membuat kesilapan ialah mereka yang bertaubat”  (Hadis Hasan riwayat Imam Ahmad).

Setiap kesilapan menghasilkan proses pelaksanaan yang `terbabas’ dari objektif yang dituju  sama ada sedikit atau banyak bergantung kepada magnitude/saiz atau intensity/ kekerapan kesilapan tersebut. Namun keistimewaan Dakwah AsSunnah ialah pembabasan tersebut tidak merosakkan visi dan misi keseluruhan Dakwah AsSunnah dengan syarat ia tidak membawa kekufuran atau kesyirikan luar dari batas ketentuan syarak.

Bertolak dari fenomena yang digariskan diatas maka penulis merasakan perlu dipaparkan beberapa nota perhatian dibawah sebagai peringatan atau proses pengemudian semula tehadap beberapa kesilapan dan pembabasan yang telah berlaku dalam perlaksanaan Dakwah AsSunnah di Nusantara.

Disamping itu sebahagian nota perhatian tersebut harus dijadikan bimbingan dari garis panduan perlaksanaan Dakwah AsSunnah semasa dan dimasa depan di Nusantara.

Beberapa teguran yang dipaparkan bukanlah bermaksud menyentuh peribadi-peribadi tentu. Ia adalah semata-mata dalam bentuk proses mengambil pelajaran/koreksi dari kesilapan-kesilapan yang telah dan sedang berlaku termasuk kepada diri penulis sendiri dan para sahabatnya. Ia juga boleh dijadikan pelantar/platfrom penapisan dan kemajuan Dakwah AsSunnah kealaf yang lebih matang. Semoga Allah mengurniakan kita dari golongan yang benar-benar diredhainya dalam memperjuangkan dan merealisasikan AsSunah dimuka bumiNya, serta termasuk dalam golongan penegak AsSunah yang telah di isyaratkan oleh baginda Rasulullah saw yang bermaksud:


Tidak akan hilang dari umatku satu golongan yang sentiasa menegakkan hak, tiada menjejaskan orang-orang yang menghina mereka sehingga datang perintah Allah (Hari Kiamat) (hadith riwayat Imam Muslim).


3. MASALAH FANATIK KEPADA PENDAPAT GURU-GURU  TERTENTU SAHAJA DALAM PERBAHASAN SOAL AGAMA TERUTAMA DALAM BIDANG FURUK/RANTING

Sebab utama kesilapan ini berlaku di kalangan Ahli AsSunnah di Nusantara ialah kelemahan kemantapan ilmu dari guru-guru atau ustaz-ustaz serta pemimpin-pemimpin gerakan AsSunnah. Jika diperhatikan dari sudut sejarah, kita dapati bahawa kejayaan gerakan AsSunnah yang lampau di Negara-negara Islam lain mempunyai dua ciri berikut;

a. Guru dan pemimpin yang benar-benar alim dalam setiap bidang ilmu agama dan mantap dalam melaksanakan dakwah mereka sesuai dengan hal keadaan sekeliling ditempat dan zaman mereka menerokai dakwah AsSunnah.

b. Sering mereka didokongi oleh institusi-institusi gedung ilmu yang kukuh demi melahirkan dan menjamin (a) di atas. Kita amat bersyukur dan berterima kasih di atas kesungguhan beberapa personaliti pejuang AsSunnah di kalangan masyarakat Melayu Malaysia seperti Sh. A.Hasan Bandung, Sh. Abu Bakar, Sh. Hashim A. Ghani, Sh. Abdullah Al Qari, dan lain-lain dalam setengah abad yang lalu. 

Kemudian timbul pula generasi baru yang terdiri dari bekas pelajar-pelajar dari Universiti Islam Antarabangsa di Madinah, Universiti Ummul Qura Mekah, Universiti Al-Imam di Riyard, Universiti Abu Bakar di Karachi dan Universiti Jordan. Jika diteliti, penerapan dakwah AsSunnah di Malaysia khususnya baru hanya melalui proses yang singkat. 

Usaha-usaha terawal berkitar dengan dakwah AsSunnah secara zahiri yang terpengaruh dengan kitab AlMuhalla oleh Abu Daud Az Zahiri terutama di Perlis dan Negeri Sembilan. Setelah pulangnya pelajar-pelajar muda dari Timur Tengah, dakwah AsSunnah mulai bergerak lebih pantas. Tetapi malangnya, banyak dari pelajar-pelajar lulusan Madinah, Mekah dan Riyard lebih mementingkan mengejar jawatan dan sijil dari dakwah AsSunnah hakiki. Bahkan banyak pula yang masih terjebak dengan haraki secara politik ala Ikhwan Muslimin dari penekanan kepada masalah aqidah. 

Akhirnya hanya tinggal beberapa kerat ustaz-ustaz AsSunnah sahaja yang benar-benar aktif dalam berdakwah kepada AsSunnah. Dengan sebab kekurangan pilihan guru-guru yang mantap, maka pendokong-pendokong AsSunnah terpaksa bergantung kepada beberapa personaliti sahaja. Perbahasan berkenaan isu-isu AsSunnah pula belum mencapai tahap matang dan meluas. Maka kebanyakan idea AsSunnah bergantung penuh kepada hanya beberapa personaliti sahaja. Sebenarnya fenomena ini bukanlah satu kesilapan. Ia hanyalah satu proses pematangan yang memerlukan masa yang lebih panjang. Untuk pemantapan dan kematangan ilmu AsSunnah memerlukan:

a. Lebih banyak pelajar-pelajar yang pergi mendalami ilmu di institusi-institusi AsSunnah di Timur Tengah.

b. Pelajar-pelajar ini mestilah yang berkualiti tinggi dari sudut keilmuan dan kemampuan intelek.

c. Pelajar-pelajar ini juga mesti dari golongan yang ikhlas dan sedar keatas kepentingan dakwah AsSunnah serta tidak terbabas mengejar pangkat dan sijil.

d. Didirikan institusi-institusi ilmu mengajar pengajian AsSunnah dengan gigih.

e. Mewujudkan institusi R&D (Research & Development) yang kukuh dalam

 mengkaji dan memajukan pemikiran dan kefahaman AsSunnah.

4. MEMPERBANYAKKAN BILANGAN GURU-GURU ASSUNNAH YANG BERKUALITI

Ini adalah hasil dari usaha 3(a) ke 3(e) diatas. Mempelbagaikan bilangan guru- guru berkualiti akan;

a. Mengurangkan unsur-unsur fanatik kepada individu-individu tertentu

b. Meluaskan bidang dan kefahaman terhadap AsSunnah dari minda*.

Sebagai misal, Imam Malik adalah guru kepada Imam Syafei yang kemudian pergi ke Baghdad untuk berguru dengan Abu Yusuf, murid besar Imam Abu Hanifah (wafat sebelum Imam As Syafei sempat berguru dengannya). Imam As Syafei sendiri telah mengiktirafkan kehebatan muridnya Imam Ahmad Ibnu Hanbal apabila ia meninggalkan Baghdad untuk berpindah keMesir.

Keempat-empat imam besar dalam feqah ini saling berkaitan. Mereka tidak fanatik berguru kepada satu, dua guru sahaja. 

5.  PENYESUAIAN SEMASA (FIQH ALWAQI’) DI ERA GLOBALISASI

Pengikutan Manhaj dakwah ulamak-ulamak terawal (salafiyah) dinegara-negara Timur Tengah tidak bermaksud kita mesti ciplak 100% metodologi dakwah mereka untuk masyarakat kita semasa. Apa yang penting diambil pengajaran disini ialah mereka berjaya berijtihad mengorak langkah perlaksanaan dakwah berdasarkan Manhaj ASWJ sesuai dengan masa dan tempat alam sekeliling dizaman mereka menurut kaedah Al Masalih Al Mursalah atau kemaslahatan kemaslahatan umum diturunkan wahyu keumat manusia umumnya dan keumat Muhammad s.a.w. khususnya (sila lihat bahagian 11.2.4.1 Definasi Al Masalih AlMursalah dalam Kitab Manhaj Aqidah ASWJ oleh penulis).

Sudah pastilah terdapat perbezaan dari segi pendekatan (approach) dan 
teknik dakwah jika dibandingkan zaman ala globalisasi kini dengan zaman ulama-ulamak AsSunnah 50,100 atau 500 tahun lepas. Penyesuaian harus dikaji dan dimajukan (R&D - Research and Development) untuk dakwah AsSunnah dizaman kita ini yang bercirikan revolusi ICT, globalisasi, dunia tanpa sempadan dan sebagainya. Isi kandungan Manhaj tetap tidak berubah. Tetapi teknik perancangan dan perlaksanaan harus diubah suai menghasilkan komitmen kukuh dan berterusan dari pendokong Ahli AsSunnah. Contohnya kalau dahulu dizaman “tujuh puluhan” (1970’an) golongan pelajar adalah lebih komited dan patriotik disebabkan mereka adalah majoriti (90%) dari golongan ibubapa yang miskin, tapi sekarang para pelajar dizaman “milenium” (2000’an) kurang peka dengan isu-isu perjuangan agama dan bangsa disebabkan majoriti ibubapa mereka adalah dari golongan yang berkemampuan dari sudut kebendaan serta dipengaruhi dengan “gadjet gadjet” canggih seperti PC, talifon bimbit, internet, sms, kancil, proton saga, dan lain-lain. Sebab itulah, masalahnya sistem dakwah berkelompok secara “usrah” zaman sekarang sudah kurang berkesan mempengaruhi golongan pelajar jika dibandingkan dengan zaman 1970’an dan 1980’an kerana system informasi jauh lebih terbuka dan melalaikan pada zaman milenium ini. Maka harus diperbaiki sistem usrah tersebut sesuai dengan perkembangan semasa. Sesungguhnya umat Islam ketingganlan zaman dari sudut kemajuan sains dan teknologi disebab kelalaian mereka tidak bersaing ketika Eropah menempuhi Revolusi Industri. Pada hal sebelum itu Umat Islam berbangga dengan kemajuan tamadun Islam hingga ke Cordova di Andalus, Sepanyol, dimana Eropah pada waktu yang sama mengalami musibah Zaman Gelap (the Dark Ages) yang mengorbankan berjuta penduduk di sebabkan wabak tikus. Apabila Eropah bangkit dengan Revolusi Industri, umat Islam terus berpoya-poya dengan kesenangan hidup. Hasilnya, sekarang ini umat Islam terpaksa mengemis untuk mendapatkan produk-produk sains dan teknologi dalam segenap bidang komunikasi, pertanian, industri, peralatan ketenteraan, pengangkutan dan segalanya. Revolusi masa depan ialah Revolusi ICT (Teknologi Informasi Berkomputer).

Segalanya pada masa kini adalah berkaitan dengan komputer termasuklah teknik cara berdakwah sendiri, teknik memperolehi ilmu, teknik pengurusan beroganisasi, dan teknik perlaksanaan. Kesemuanya bergantung rapat  dengan penggunaan teknologi komputer.  Maka wajib bagi Ahli AsSunnah  mengharungi dengan kepintaran terhadap kemajuan teknologi informasi berkomputer ini berpandukan Manhaj ASWJ untuk terus bersaing di era globalisasi menggunakan kaedah Fiqh AlWaqi’ atau ilmu pemahaman keadaan hal ehwal semasa (contohnya dalam kitab yang ditulis oleh Syeikh Nasir AlUmar berkenaan tajuk ini).

6. PROFESSIONALISMA DALAM ISLAM



Tindakan ala professionalisma adalah perlu diera globalisasi. Bahkan perkataan “ulamak” atau “ustaz” perlu diistilahkan juga sebagai profesional dalam bidang agama. Ulamak professional harus lebih hebat dari mana mana professor atau Hakim Mahkamah Agung. Barulah kepimpinan Islam apatah lagi kepimpinan AsSunnah disegani dan dihormati.


Diperingkat perlaksanaan, pandakwah AsSunnah professional akan lebih menarik dan lebih berkesan dalam penyampaian dan penyusunan segala usahanya, bukan sahaja kepada para pendokong AsSunnah, bahkan kepada umat Islam dan golongan bukan islam. Perlu juga diperbanyakkan professional dalam bidang duniawi yang mantap dalam ilmu agama.



Konsep professionalisma tulen telah membuatkan banyak dari golongan professional yang telah terlatih dalam sistem pendidikan sekular untuk berminat dan bersemangat untuk kembali kepada pemahaman dan gerakan Islam secara sistematik berdasarkan Al-Quran dan As Sunnah. Sumbangan pihak professional ini amatlah baik sekali terutama dalam penyusunan gerak kerja dakwah As Sunnah.


Cuma ditakuti ada yang terbabas melebihi batas kemampuan dari sudut pemahaman disebabkan asas ilmu mereka yang cetek dalam ilmu agama. seharusnya mereka bergerak sesuai dengan batas ilmu yang ada atau berdampingi para ustaz yang mantap dalam bidang ilmu agama serta terdedah dengan tindakan professionalisma untuk memahami polar pemikiran golongan professional. Ditakuti juga golongan professional yang aktif dalam bidang dakwah terlalu berkeyakinan dengan kemampuan aqal professionalismanya hinggakan walaupun kecetekan ilmu agama, mereka terlalu bersemangat dan berani dalam suatu tindakan tanpa pedulikan pihak-pihak ustaz yang walaupun tidak begitu sistematik dalam susunan kerja mereka tetapi masih mempunyai pendalaman dalam ilmu syarak yang berguna dan harus didengar oleh golongan professional ini. 







Akan Bersambung...(sila nyatakan e-mel di ruang yang disediakan atau sertai sebagai Follower untuk mendapatkan informasi yang akan dikongsi di sini secara berkala...Insya Allah)